Hubungi

Brisk Walk’ dalam Kampus: Langkah Kecil, Impak Besar kepada Minda dan Tubuh

27 Feb 2026

Sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka, Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah turut komited dalam memelihara kesejahteraan mental dan fizikal warga kampus. Dalam persekitaran akademik yang semakin mencabar dengan tuntutan pembelajaran, penyelidikan dan tugasan kerja yang tinggi, amalan gaya hidup sihat merupakan satu keperluan dan bukan lagi pilihan. Salah satu amalan yang mudah, berimpak tinggi serta boleh dilakukan oleh semua warga kampus ialah ‘brisk walk’ atau berjalan pantas.

‘Brisk walk’ merujuk kepada aktiviti berjalan pada kelajuan sederhana sehingga kadar denyutan jantung dan pernafasan meningkat, namun individu masih mampu berbual tanpa rasa terlalu tercungap-cungap. Persekitaran Kampus USM yang hijau, luas dan mesra pejalan kaki menyediakan suasana yang amat sesuai untuk aktiviti ini, sama ada pada waktu pagi sebelum kuliah, semasa waktu rehat tengah hari atau selepas waktu bekerja.

Dari perspektif kesihatan fizikal, manfaat brisk walk telah dibuktikan secara meluas dalam kajian perubatan. Amalan ini membantu mengurangkan lemak badan dan berat badan berlebihan, seterusnya menyumbang kepada pencegahan obesiti. Selain itu, brisk walk berkesan dalam membantu mengawal paras gula darah bagi pencegahan dan pengurusan penyakit kencing manis, mengawal tekanan darah serta meningkatkan kolesterol baik (HDL). Aktiviti berjalan pantas secara berkala juga meningkatkan peredaran darah, menguatkan otot dan tulang, serta menyokong kesihatan kardiovaskular secara keseluruhan.

Di samping itu, ‘brisk walk’ membantu mengurangkan kesakitan sendi, memperbaiki fungsi paru-paru dan kecekapan pernafasan, menguatkan sistem imun, meningkatkan kualiti tidur serta mengurangkan risiko penyakit kronik termasuk penyakit jantung, angin ahmar dan beberapa jenis kanser.

Walau bagaimanapun, aspek yang sering kurang diberi penekanan ialah kesan positif ‘brisk walk’ terhadap kesihatan mental, keupayaan fokus serta prestasi pembelajaran dan pekerjaan. Aktiviti fizikal sederhana seperti ‘brisk walk’ merangsang pengeluaran endorfin dan serotonin, iaitu bahan kimia otak yang berperanan dalam meningkatkan mood, mengurangkan tekanan dan membantu mengawal gejala kebimbangan serta kemurungan. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa aktiviti berjalan secara berkala dapat mengurangkan tahap tekanan psikologi dan meningkatkan kesejahteraan emosi.

Dari sudut kognitif, peningkatan aliran darah ke otak semasa berjalan pantas membantu memperbaiki daya tumpuan, ingatan dan kecerdasan pemikiran. Pelajar yang mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten didapati lebih fokus dalam pembelajaran, kurang mengalami keletihan mental serta mempunyai keupayaan pemprosesan maklumat yang lebih baik. Bagi warga kerja pula, ‘brisk walk’ menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kreativiti dan keupayaan membuat keputusan, di samping mengurangkan risiko kelesuan atau ‘burnout’ akibat tekanan kerja berpanjangan.

Sehubungan itu, Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian) amat menggalakkan semua warga kampus untuk menjadikan ‘brisk walk’ sebagai sebahagian daripada rutin harian. Aktiviti ini tidak memerlukan peralatan khas atau kos yang tinggi. Amalan ‘brisk walk’ selama 30 minit sehari, lima hari seminggu, sudah memadai untuk memberikan manfaat kesihatan yang signifikan.

Kesimpulannya, ‘brisk walk’ dalam kampus bukan sekadar aktiviti fizikal, malah merupakan satu pelaburan jangka panjang terhadap kesihatan mental, fokus pembelajaran dan prestasi kerja. Dengan langkah yang konsisten, warga USM bukan sahaja dapat membina tubuh badan yang lebih sihat, tetapi juga minda yang lebih cergas, seimbang dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan komuniti kampus yang sejahtera dan holistik.

Penulis:

Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian)

Universiti Sains Malaysia